Mercedes-Benz Rempuh Lori 5 Tan, Dua Lelaki Maut

Foto : Kosmo

SEBERANG PERAI – Dua lelaki maut apabila kereta jenis Mercedes-Benz yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori lima tan di Jalan Song Ban Keng, Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam di sini, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Lim Jeng Yee, 33, dan Ong Zhong Xiang, 26 manakala yang cedera dikenali sebagai Lim Chun Hung, 23. Bagaimanapun, pemandu lori terbabit pula dilaporkan selamat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.07 pagi sebelum bergegas ke lokasi dengan kekuatan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda.

“Sebaik sahaja sampai di lokasi kejadian, didapati terdapat empat mangsa yang terlibat termasuk pemandu lori.

“Mangsa iaitu pemandu dan dua orang penumpang di dalam kereta jenis Mercedes Benz telah tersepit manakala pemandu lori berada dalam keadaan selamat, katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kerja-kerja menyelamat mangsa dilakukan dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa yang terlibat telah berjaya dikeluarkan pukul 4.10 pagi.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat kira-kira 10 minit kemudian,” ujarnya.

Difahamkan, ketika kejadian, jalan agak licin akibat hujan dan punca sebenar kemalangan masih belum dapat dikenal pasti setakat ini. 

Sumber : Kosmo