Anwar hantar usul pecat PM

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar usul bagi memecat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di parlimen.

Perkara itu dibuat berikutan tindakan pihak kerajaan yang dikatakan membelakangi Yang di-Pertuan Agong berhubung ordinan darurat.

Perkara itu juga disusuli dengan kenyataan Istana Negara yang menyatakan pembatalan ordinan darurat pada 21 Julai dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di parlimen.

“Kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan di parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang malah membelakangi fungsi dan kuasa Agong sebagai selaku Ketua Negara.

“Dengan ini saya Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili ahli-ahli Dewan Rakyat mengambil ketetapan untuk hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dimakzulkan sebagai jawatan Perdana Menteri dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dikatakan telah membuat kenyataan mengelirukan berhubung pembatalan ordinan darurat yang dilihat membelakangi Agong.

Terdahulu sidang mesyuarat khas parlimen ditangguh beberapa kali berikutan terdapat dua kes positif COVID-19.

Ini bertujuan bagi membolehkan aktiviti saringan dilakukan melibatkan kesemua individu di dalam bangunan parlimen.