Anak Ini Dikenali Manusia Ular Karena Menderita Penyakit Kulit Langka

GARA-gara memiliki kulit bersisik seperti ular, seorang kanak-kanak lelaki di Ganjam, India, terpaksa mandi setiap jam dan memakai pelembap, tiga jam sekali.

Daily Mail melaporkan Jagannath, 10 mengalami penyakit kulit dikenali sebagai Lamellar Ichthyosis sejak lahir.

Keadaan itu menyebabkan kulit kanak-kanak berkenaan mudah menggelupas jika dibiarkan dalam keadaan kering.

Selain itu, Jagannath tidak dapat berjalan dengan normal sebaliknya perlu bergantung dengan bantuan tongkat.

Bapanya, Prabhakar Pradhan mengakui tidak mampu untuk menanggung kos rawatan anaknya itu.

“Sejak kecil lagi, dia menderita akibat penyakit itu dan seperti tiada ubat yang boleh merawatnya.

“Hati saya luluh setiap kali melihatnya dalam keadaan sebegitu namun saya tidak cukup wang untuk mendapatkan rawatan buatnya,” katanya yang bekerja sebagai buruh di sawah padi.

Pakar dermatologi sebuah daerah di India berkata, tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit Jagannath walaupun ada pakar mengatakan ia boleh dirawat.

Sementara itu, Pakar Perunding Kulit di Hospital Aster MIMS di Kerala, India berpendapat Lamellar Ichthyosis adalah salah satu daripada penyakit kulit yang jarang ditemui.

Dianggarkan seorang individu dalam setiap 200,000 kelahiran akan mengalami Lamellar Ichthyosis yang lazimnya menyebabkan pesakit menderita sepanjang hayat mereka.

Sumber – Harian Metro