TM meterai kerjasama 5G dengan Huawei

DALAM usaha membawa teknologi jaringan termaju iaitu 5G di negara ini, Telekom Malaysia Berhad (TM) mengambil langkah proaktif untuk menjalinkan kerjasama dengan Huawei menerusi Program Ujian Kebolehoperasian antara pembawa.

Program berkenaan memberi fokus kepada ujian untuk rekaan infrastruktur teras persendirian atau ‘Standalone’ (SA) dan ia akan dilaksanakan di lokasi Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di sekitar Langkawi, Kedah.

Ia akan membabitkan ciri-ciri utama teknologi berkenaan dan kefungsian jaringan perkongsian antara pembekal telekomunikasi di negara ini.

 

Kejayaan ujian kebolehoperasian antara pembawa jaringan ini bakal memberi sumbangan penting dalam usaha negara untuk mempercepatkan penyebaran 5G secara komersil yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pemain utama industri yang juga peneraju jaringan 5G iaitu Huawei untuk mempercepatkan proses penawaran jaringan berkenaan di negaraini.

“TM yang mendapat sokongan pakar Huawei turut mempersiapkan jaringan 5G di Langkawi sebagai pusat inkubasi untuk pembekal telekomunikasi lain, pemain industri termasuk usahawan tempatan untuk menggunakan teknologi berkenaan.

“Kejayaan percubaan kebolehoperasian yang dilaksanakan oleh Huawei dan TM bukan saja menjadi asas kepada pelancaran skala besar komersial sebaliknya turut mempromosikan jaringan 5G infrastruktur teras persendirian (SA) untuk industri.

“Kita akan mendalami usahasama ini dengan pelbagai lagi kerjasama perkongsian untuk melancarkan pelbagai ujian dan pengesahan komersial termasuk kajian serta penyelidikan produk,” katanya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Michael Yuan berkata, ia adalah satu peluang kerjasama yang sangat baik untuk meneroka teknologi 5G di Malaysia sekali gus menjadikan jaringan berkenaan boleh digunakan oleh pengguna di negara ini.

Menurutnya, pihaknya akan membantu TM untuk melakukan kajian terperinci dalam merealisasikan ekosistem bersama dengan pembuat peranti, pembuat cip dan rakan industri.

 

umber – Harian Metro