Abang askar jilat tangan wanita, direman empat hari

POLIS telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun susulan kes mencabul seorang wanita berusia 18 tahun di sebuah kedai rokok elektronik (vape) di Taman Keramat pada 5 Oktober lalu.

Kejadian yang tular di media sosial itu difahamkan melibatkan seorang anggota tentera yang berpakaian seragam tentera ketika melakukan perbuatan tersebut.

Tangkapan terhadap suspek dilakukan hari ini bertempat di sebuah rumah di Taman Setiawangsa Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisoner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek telah direman  selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Suspek bertugas di Cawangan Tentera Darat Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur dan didapati telah berkhidmat bersama ATM selama tujuh tahun.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek bagaimanapun negative dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Mohamad Farouk turut memberitahu, polis telah merampas kelengkapan uniform suspek yang dipercayai dipakai sewaktu kejadian.

Kejadian tular pada 5 Oktober lalu itu memaparkan tindakan suspek yang bertindak memegang tangan mangsa di premis tersebut selain suspek turut menjilat tangan mangsa.

Terdahulu mangsa telah memaklumkan kepada suspek mengenai premis berkenaan yang mempunyai rakaman kamera litar tertututup (CCTV) sebelum suspek beredar dari premis tersebut.

Kejadian awal ketika itu berlaku apabila suspek mendakwa alat rokok elektroniknya mengalami kerosakan sebelum ditukarkan kepada yang baharu.