Video ’abang askar’ jilat tangan wanita tular!

TINDAKAN seorang anggota tentera beruniform melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita tular di media sosial. 

Kejadian berlaku melibatkan sebuah kedai menjual rokok elektronik (vape) di Taman Keramat, Kuala Lumpur pada 5 Oktober jam 1 tengah hari. 

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku apabila suspek mendakwa rokok elektroniknya mengalami kerosakan. 

Mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 18 tahun telah menggantikan dengan rokok elektronik yang baru sebelum dia kelihatan dicabul oleh suspek. 

“Mangsa telah serahkan pod vape dan ketika itu suspek mengambil kesempatan dengan bertindak memegang tangan mangsa. 

“Suspek juga turut menjilat tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mangsa yang menyedari akan perbuatan itu memaklumkan kepada suspek bahawa premis berkenaan mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV). 

Suspek kemudian terus bertindak melepaskan tangan mangsa dan beredar keluar dari premis berkenaan. 

Setakat ini polis sedang berusaha mengesan dan mendapatkan identiti suspek. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. 

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, atau kedua-duanya sekali.