Tempoh 10 Tahun Sah Laku Sijil Kursus Kahwin Masih Di Peringkat Cadangan – JAKIM

Foto: Kursuskahwinkanana.com

KUALA LUMPUR, 1 September- Cadangan pelaksanaan sah laku Sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam selama 10 tahun bermula Oktober depan masih lagi dalam peringkat cadangan dan pertimbangan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, cadangan tersebut telah dibincangkan oleh JAKIM bersama Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Cadangan tersebut dibangkitkan bagi memastikan pelaksanaan kandungan Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam yang lebih relevan dan berkesan kepada bakal pengantin.

“JAKIM akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini apabila ianya dimuktamadkan bersama pihak berkuasa agama negeri kelak,”menurut kenyataan tersebut.

JAKIM merujuk laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 30 Ogos 2023 berhubung tempoh sah laku sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam selama 10 tahun bermula 1 Oktober 2023.