Pasangan Muda Terpaksa Beri Bayi Kepada Orang, Tidak Mampu Tanggung 3 Anak Kembar Sekaligus

Foto: Harian Metro

Pekan: “Saya terpaksa mengambil keputusan menyerahkan seorang daripada tiga anak kembar kepada ibu saudara kerana kesempitan hidup,” kata Roslinshah Roslan, 19.

Menurutnya, dia dan isteri, Noralia Saleh, 20, terpaksa berbuat demikian kerana pendapatan diterimanya sebagai operator kilang kotak tidak mampu menampung perbelanjaan tiga anak kembar lelaki mereka yang kini berusia empat bulan.

Katanya, sebagai bapa, dia tidak sanggup menyerahkan bayi pertamanya itu kepada ibu saudaranya, namun kerana terpaksa, dia dan isteri reda berbuat demikian.

“Setiap bulan, saya perlu sediakan lebih RM150 untuk susu. Seorang daripada anak kembar pula perlu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setiap bulan berikutan masalah kesihatan selepas menjalani pembedahan.

“Kami tidak pernah menduga dikurniakan anak kembar tiga kerana dalam kalangan keluarga, tiada yang kembar,” katanya.

Roslinshah yang juga anggota komuniti Orang Asli kini menetap bersama keluarga di Kampung Permatang Keledang di sini, berkata sebelum ini, dia terpaksa meminta bantuan kewangan daripada keluarga terutama ketika anak kembarnya mendapat rawatan selama tiga bulan di HTAA.

Sementara itu, Pengerusi Kelab 4×4 Orang Asli Pahang Mahat Mat Don berkata, untuk meringankan beban pasangan berkenaan, pihaknya menyampaikan bantuan seperti susu, lampin pakai buang serta peralatan bayi.

Katanya, bantuan prihatin itu turut diberikan oleh pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang simpati dengan nasib pasangan berkenaan.

“Dalam suka ada duka, gembira dikurniakan anak kembar tiga yang jarang terjadi terutama membabitkan masyarakat Orang Asli, pada waktu yang sama, kemiskinan menyebabkan pasangan ini berdepan banyak masalah.

“Ini bantuan julung kali diberikan. Selepas ini, kita berusaha menyediakan bantuan lain bagi meringankan beban pasangan berkenaan,” katanya yang turut berharap ada pihak lain sudi menghulurkan bantuan.

Sumber: Kosmo