Rakyat Mengeluh Masalah ‘Parking’ HSA Johor Bahru Tidak Pernah Selesai

Foto: Kosmo

Johor Bahru: “Kalau datang 9 pagi ke atas, pusing berkali-kali dalam kawasan hospital pun tidak akan dapat parkir di sini.

Keluhan itu disuarakan waris pesakit Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, Irwan Syah Abdullah, 43 yang mendakwa masalah kekurangan tempat letak kereta di HSA, sudah lama berlaku.

Jurutera yang menetap di Taman Perling di sini itu berkata, pilihan lain adalah meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Katanya, tempat letak kereta di dalam kawasan HSA, biarpun berbayar, ia digunakan sama ada oleh petugas kesihatan seperti jururawat dan doktor di samping pelawat dan pesakit.

“HSA ini hospital besar, bukan sahaja masyarakat Parlimen Pulai sahaja mendapatkan rawatan di sini, ada juga pesakit dari daerah lain seperti Muar, Pontian dan Segamat.

“Jadi, isu masalah tempat letak kereta ini memang sudah lama. Sebelah HSA ini, Dataran Bandaraya Johor Bahru juga ada tempat letak kereta berbayar dan kawasan ini juga sentiasa penuh.

“Macam saya hantar isteri buat rawatan susulan, terpaksa letak kereta di bahu jalan dan menunggu di sini kerana bimbang risiko kereta ‘ditarik’ penguat kuasa atau disaman.

“Saya pernah cuba hendak letak kereta di dalam kawasan HSA, berkali-kali pusing masuk dalam cari parkir, kita jadi penat dan tertekan. Baik parkir luar, tapi risiko kena tanggung sendiri, ” katanya ketika ditemui di luar kawasan HSA.

Bagi Muhammad Dinie Salim, 33, dia terpaksa meletakkan kereta sejauh 200 meter berhampiran sebuah restoran kerana parkir dalam HSA, sentiasa penuh.

Dia pernah meletakkan kenderaan di bahu jalan dan menunggu di dalam kenderaan tetapi dihalau kerana faktor keselamatan.

Selasa lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam lawatannya di sekitar kawasan Johor Bahru memberitahu kerajaan negeri akan terus memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya pembinaan tempat letak kereta bertingkat dibangunkan di HSA.

Sumber: Harian Metro