Remaja 15 tahun tikam anak sendiri selepas beranak

SEORANG remaja berusia 15 tahun tergamak menikam anaknya sendiri yang baru sahaja dilahirkan di Kemaman pada Selasa.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi, mayat bayi lelaki itu ditemui dengan kesan tikaman pada bahagian dada kiri bersama ibunya, lapor Kosmo.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati remaja perempuan yang keciciran persekolahan sejak beberapa tahun lalu dipercayai bersendirian di rumahnya ketika melahirkan bayi itu.

“Dia kemudiannya meminta pertolongan seorang rakannya untuk memaklumkan kelahiran tersebut kepada kakitangan sebuah klinik kesihatan berhampiran.

“Sebaik tiba di rumah terbabit, pegawai kesihatan mendapati bayi terbabit sudah tidak bernyawa dengan kesan luka pada bahagian dada dipercayai ditikam dengan objek tajam,” katanya kepada Kosmo.

Hanyan berkata, sepasukan polis bergegas ke rumah tersebut sebelum bertindak menahan suspek bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, mayat bayi tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

Sumber: Kosmo