Ubah suai Jata Pahang, Fahmi Reza bakal didakwa?

PEREKA grafik yang terkenal dengan pelbagai spekulasi, Fahmi Reza bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis ini menurut laporan media tempatan.

Menurut laporan tersebut, peguam yang mewakili pereka grafik tersebut, Rajsuurian Pillai mengesahkan prosiding itu akan dijalankan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta.

“Fahmi akan didakwa) pada Khamis jam 9 pagi (sebelum) MSJ4/Siber (Mahkamah Jenayah Sesyen 4 untuk bidang kuasa siber,” katanya memetik laporan itu.

Bagaimanapun, peguam itu enggan mengulas lanjut berhubung kesalahan yang telah dilakukan anak guamnya itu.

Baru-baru ini, Bernama melaporkan Fahmi Reza telah dipanggil ke Bukit Aman susulan kiriman yang tular di media sosial memaparkan jata Pahang yang diubah suai dengan perkataan ‘House Of Balak’.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Abdul Jalil Hassan, individu itu dipanggil bagi tujuan siasatan oleh pihak di Unit Siasatan Jenayah Terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang JSJ.

“Polis sedang menjalankan siasatan berhubung posting yang dimuat naik pada 3 Jan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bagi perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar,” katanya.

Dilaporkan bahawa pos Fahmi yang didakwa menunjukkan sebatang pokok dan dua kapak dengan perkataan – Rumah Balak.

Ia tular di media sosial berikutan banjir besar pada Disember tahun lepas, di mana Pahang dan Selangor merupakan dua negeri yang paling teruk dilanda banjir.

Sebelum ini, pereka grafik itu juga telah dipanggil beberapa kali oleh pihak polis berkaitan dengan beberapa imej yang dimuat naik yang turut mencetuskan pelbagai kontroversi.