Mekanik wanita terkejut lelaki bogel ‘tumpang’ keretanya selama 3 hari

BAYANGKAN jika indvidu tidak dikenali menumpang kereta anda tanpa sedar selama tiga hari.

Itu situasi yang dihadapi seorang seorang wanita di Kanada yang terkejut apabila mendapati seorang lelaki bogel bersembunyi di dalam but keretanya.

Bethany Coker yang berkongsi pengalamannya itu di laman TikTok berkata dia tidak menyedari lelaki tersebut berada di dalam but kenderaannya meskipun menaiki kereta Subaru sedan itu untuk pergi ke pelbagai tempat.

Jelasnya, dia pada awalnya dapat melihat tanda-tanda lelaki itu memasuki keretanya apabila melihat kesan lumpur pada tempat duduk pemandu.

Dia yang bekerja sebagai mekanik kemudian membersihkan kekotoran tersebut tanpa menyedari bahawa lelaki itu bersembunyi di dalam but kereta selama tiga hari.

Coker akhirnya mula berasa curiga apabila melihat terdapat kesan kabus dari bahagian dalam keretanya. Apabila dia masuk ke dalam kenderaan itu, Coker terdengar bunyi suara lelaki memanggilnya.

“Pada awalnya saya menyangkakan seseorang sedang mempermainkan saya. Disebabkan itu saya merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit kerana tidak memahami keadaan tersebut,” katanya.

Coker kemudian menghubungi polis bagi melaporkan perkara itu walaupun pihak polis tidak mempercayainya pada awalnya.

Lelaki dipercayai seorang gelandangan itu telah dihantar ke wad psikiatri. 

Sumber: Kosmo