Ramai kasihan remaja curi tabung masjid dimandikan seperti jenazah, namun datuk akhirnya tampil dedah cucunya remaja bermasalah

DATUK kepada remaja yang dimandikan seakan jenazah akibat tertangkap mencuri tabung masjid tampil mendedahkan bahawa dia yang menyarankan agar Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang membuat laporan polis ke atas perlakuan cucunya itu.

Menerusi laporan MalaysiaGazette, individu yang dikenali sebagai Rosli Sidek berkata dia ingin memberi pengajaran kepada cucunya, Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, supaya menjadi orang berguna pada masa hadapan.

Jelas Rosli, 65, dia tidak ingin apa yang terjadi terhadap keluarganya gara-gara sikap negatif Daniel Iskandar sebelum ini akan menimpa orang lain.

“Daniel Iskandar merupakan remaja yang bermasalah dan saya tidak sanggup menjaganya kerana tindakan yang tidak boleh dikawal lagi dan agresif.

“Kemungkin besar dan dikhuatiri dia ada ambil benda terlarang dan baru terjebak jadi penagih kerana sering melakukan tindakan luar dugaan.

“Contohnya dia pernah mencuri wang dan motosikal saya, wang simpanan umrah arwah neneknya, telefon bimbit saudaranya, pernah hendak ugut mencederakan arwah neneknya dan sering pulang lewat malam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Rosli juga menjelaskan pihak AJK masjid terlebih dahulu berbincang dengannya namun beliau nekad kes cucunya disiasat polis.

Dia juga tidak ambil hati apabila video cucunya tular kerana dimandikan seperti jenazah.

“Saya tidak ambil hati pun malah bersyukur dia diberi pendidikan kerana mencuri.

“Nasib baik hanya dijirus air biasa kalau air panas macam mana,” katanya lagi.

Semalam, Daniel Iskandar dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu.

Daniel Iskandar yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhi hukuman, Majistret Nik Mohd Fadli menegur tindakan tertuduh bahawa mencuri merupakan satu kesalahan.

Sumber: MalaysiaGazette