Simpan jenazah selama dua bulan di rumah kerana yakin anak masih hidup

AKIBAT yakin anak yang disayangi masih hidup, sepasang suami isteri sanggup menyimpan jenazah anak mereka itu selama dua bulan di rumah.

Ketua Pusat Kesihatan Pemalang, Moga Sugiarto mengesahkan berita tersebut dan memberitahu, pihaknya sudah ke rumah pasangan itu untuk melakukan pengesahan kematian, lapor Kosmo.

“Keadaan jenazah sudah mengeras dan membusuk. Mayat diselimut hingga paras dada dan dibiarkan di dalam sebuah bilik yang sentiasa dibersihkan.

“Orang tuanya yakin anak mereka masih hidup mungkin kerana terlalu sayang dan tidak boleh menerima kenyataan bahawa remaja itu sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Menurutnya, Allahyarham disahkan sebagai menghidap penyakit batuk kering dan sering mendapat rawatan di hospital.

Namun sejak hampir tiga bulan lalu, dia berhenti menerima rawatan selepas ibu bapanya menceritakan anak mereka tidak mahu makan dan tidak bergerak.

“Pihak kami percaya remaja itu sudah meninggal dunia pada ketika itu tetapi ibu bapanya enggan mengebumikannya kerana tidak percaya anak mereka sudah tiada.

“Alhamdulillah, selepas pihak kesihatan dan wakil agama datang melawat mereka lalu dibenarkan melakukan urusan sepatutnya,” kata Moga.

Tambah Moga, jiran-jiran juga tidak menyedari situasi itu kerana kedudukan rumah yang agak jauh serta keadaan cuaca yang sering hujan menghalang bau busuk daripada dihidu.

Jenazah remaja berusia 14 tahun itu selamat dikebumikan pada hujung minggu lalu sambil disaksikan kedua ibu bapanya. 

Sumber: Kosmo