Rakyat Minta Haramkan Aplikasi Pencarian “Sugar Daddy” Untuk Wanita Muda, CEO Sugarbook Anggap Ini Tidak Adil

Sumber Foto - NSTP

Risau akan kebebasan dan pilihan rakyat Malaysia akan terjejas jika aplikasi yang dibangunkannya ini diharamkan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sugarbook, Darren Chan melihat permintaan warganet itu sebagai tidak adil.

Jelas Darren,31, aplikasi Sugarbook menyediakan platform temu janji untuk wanita memilih secara bebas apa yang dikehendaki dalam hubungan yang ideal tanpa dinilai.

“Berhubung isu papan iklan yang mencetuskan kebimbangan orang ramai, kami harap anda memahami bahawa Sugarbook dibina bagi membolehkan wanita memilih secara bebas apa yang dikehendaki dalam hubungan yang ideal tanpa sebarang dinilai.

“Kata kunci di sini adalah ‘pilihan’ dan Sugarbook adalah mengenai memberikan pilihan yang tepat itu kepada mereka,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook miliknya.

Menolak perkataan “sugar baby” itu ada kaitan dengan industri pelacuran, jelasnya pengguna aplikasi yang dibinanya ini tidak menyalahi undang-undang.

“Mereka tidak memperdagangkan tubuh mereka untuk mendapatkan wang. Terdiri daripada pelbagai latar belakang kehidupan yang berbeza ada diantaranya seperti ibu tunggal yang mengalami kesukaran hidup,suri rumah, balu dan janda.

“Kami yakin orang awam berniat baik, namun ia tidak adil untuk mengharamkan aplikasi ini. Kami bimbang desakan ini akan memberi kesan kepada kebebasan dan pilihan rakyat Malaysia,” tulisnya.