Polis buka kertas siasatan isu gangguan seksual melibatkan pendakwah bebas

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sah akan membuka kertas siasatan berhubung isu gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah bebas.

Siasatan tersebut dibuat berikutan video dan mesej lucah yang tular di aplikasi Telegram yang didakwa melibatkan individu berkenaan.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, siasatan telah dijalankan serta tindakan tegas yang akan diambil terhadap pihak yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

““Orang ramai dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam, menggugat keharmonian negara dan menjejaskan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Abd Jalil memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan melalui Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas (KUSJT), Superintendan Junainah M. Kasbolah.