Sultan Selangor dukacita ada golongan agamawan tolak vaksin

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dan kecewa apabila sebahagian besar golongan agamawan di negeri itu menolak pengambilan vaksin.

Perkara itu dapat dilihat menerusi jumlah kehadiran Program Vaksinasi Khas COVID-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang hanya mendapat 203 penyertaan daripada 873 jumlah nama yang didaftarkan.

Baginda menerusi hantarannya di Instagram menzahirkan rasa dukacita apabila 96 daripada 203 orang menerusi program berkenaan bertindak menolak pengambilan vaksin.

Sultan Selangor bertitah, kedegilan segelintir individu bakal mengundang kesukaran buat orang ramai untuk melakukan urusan khususnya bagi murid-murid yang mengikuti pembelajaran KAFA.

Melihat kepada situasi COVID-19, JAIS bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Selangor.

Ini termasuk memperluas dan memudahkan pemberian vaksin COVID-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.

Baginda turut bertitah akan meneliti nama guru-guru KAFA, Ahli Jawatankuasa Masjid serta jurunikah yang enggan divaksin sebelum membuat satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka.