PDRM dalam proses mohon bawa pulang Sajat

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang membuat permohonan bagi membawa pulang usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali sebagai Nur Sajat yang ditahan di Thailand pada 8 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Malaysia dan Thailand terikat dengan ‘triti’ atau perjanjian bagi membawa pulang individu dikehendaki.

“Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk bawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.

“Permohonan ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Sajjad diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada 23 Februari kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.