PM tiba di Istana Negara

Foto: Malaysia Gazette

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di pintu masuk utama Istana Negara sekitar jam 12.20 tengah hari bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh itu kelihatan tenang sebaik sahaja kelihatan menuju masuk ke Istana Negara selain turut berkesempatan membuat lambaian kepada petugas media.

Selain itu, sesi menghadap berkenaan juga dikatakan akan mempersembahkan beberapa nama calon Perdana Menteri yang baharu menurut beberapa laporan media.

Dalam perkembangan sama, beberapa pegawai kanan kerajaan juga telah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Antara yang kelihatan ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, serta Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat khas kabinet di Perdana Putra dalam tempoh kira-kira tiga jam sebelum bergerak ke Istana Negara.

Pengerusi Perikatan Nasional itu juga dikatakan bakal mengadakan pengumuman khas pada hari ini sebaik sahaja selesai sesi menghadap bersama Agong hari ini.

Kemelut politik kelihatan rancak sejak beberapa hari ini termasuk pertemuan yang diadakan parti-parti politik khususnya isu kedudukan Perdana Menteri.