**DIKEMASKINI** Pesawat Sriwijaya Air dilaporkan terhempas, lebih 56 penumpang dan kru dipercayai maut

PESAWAT komersial Sriwijaya Air SJ182 yang dalam penerbangan dari Jakarta ke Pontianak, Indonesia dipercayai telah terhempas selepas dilaporkan hilang dari radar hari ini, lapor Astro Awani.

Memetik laporan asal portal berita Detik.com, pesawat model Boeing 737 tersebut dilaporkan terputus hubungan pada jam 2.40 waktu tempatan ketika melintas ruang udara di daerah Kepulauan Seribu, Jakarta.

“Saya dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan masih memeriksa data-data berkaitan.

“Saya akan maklumkan perkembangan terkini nanti,” kata Pengurus Perhubungan Awam Airnav Indonesia, Yohanes Sirait ketika diminta pengesahan.

Maklumat awal menyatakan bahawa pesawat berkenaan membawa 56 penumpang yang terdiri daripada 46 orang dewasa, tujuh kanak-kanak dan tiga bayi.

Pesawat dikatakan berlepas dari Jakarta sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan.

Belum dapat dipastikan jumlah sebenar penumpang dan krew dalam pesawat berkenaan.

Dalam pada itu, Kosmo! melaporkan Pasukan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia menjumpai cebisan daging yang dipercayai milik penumpang pesawat Sriwijaya Air SJ-182.

Memetik laporan asal portal Tribunnews, sebuah kapal peronda daripada Kementerian Informasi Maklumat menjumpai cebisan daging itu di lokasi yang disyaki menjadi tempat pesawat Sriwijaya Air SJ 182 terhempas di Kepulauan Seribu, lewat petang tadi.

Kapten kapal, Eko memberitahu dia menerima laporan daripada nelayan yang terdengar satu letupan kuat seperti bunyi kilat lalu bergerak menuju ke lokasi yang didakwa untuk pemeriksaan lanjut.

“Ada sepotong daging ditemui di terapung di atas air, mungkin daripada tubuh manusia,” kata Eko kepada stesen televisyen, TV One.

Selain itu, Eko turut menjumpai kesan bahan bakar pesawat di lokasi dipercayai kapal terbang itu terhempas.

“Ada (kesan) bahan bakar pesawat dilihat di air laut yang mempunyai kedalaman sekitar 15 hingga 16 meter,” katanya.

Sumber: Astro Awani, Kosmo!