Mengarahkan menteri untuk meminta maaf kepada TMJ” – Syed Saddiq terpaksa lompat pagar kerana gangster

Gara-gara dikepung hampir 200 gangster, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama beberapa pemimpin lain terpaksa melarikan diri menggunakan jalan tikus dan melompat pagar dalam usaha meloloskan diri.

Dalam perkongsian di dalam Facebook Menteri Belia dan Sukan itu mendakwa kesemua gangster itu berpakaian hitam selain memekik pelbagai kata-kata kesat. Malah lebih teruk tulisnya kumpulan itu juga turut mengarahkan menteri untuk meminta maaf kepada TMJ.

Malam ini, saya dan Armada Johor berkumpul di Ulu Tiram, Johor. Kami rancang untuk duduk semeja, sembang santai dan…

Posted by Syed Saddiq Syed Abdul Rahman on Friday, January 31, 2020

“Malam ini, saya dan Armada Johor berkumpul di Ulu Tiram, Johor. Kami rancang untuk duduk semeja, sembang santai dan bersatu hati. Keluarga Srikandi dan Bahagian juga ada yang turut hadir. Ini rancangan asalnya lah.

Tapi, malam ini diganggu oleh sekumpulan individu (sekitar 200 lebih orang) yang datang tidak dijemput. Mereka semua berdiri keliling berpakaian hitam datang ke majlis kami. Gangster dan tidak hormat orang.

Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini.

Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ, kalau mahu pulang dari majlis. Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadap dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat.

Lebih teruk, keselamatan semua yang hadir. Bayangkan dikepung lebih 200 orang individu lagak seperti gangster. Saya sendiri, YB Rafiq, YB Mazlan dan lain terpaksa lari guna jalan tikus dan lompat pagar. Lari seperti orang salah,” tulisnya.

Sementara itu Syed Saddiq turut berterima kasih kepada Armada Johor selain mengingatkan Malaysia mempunyai undang-undang dan tiada siapa yang lebih tinggi dari perlembagaan.

“Terima kasih Armada Johor. Terima kasih Bersatu Johor. Malam ini adalah malam keluarga Armada dan Bersatu. Saya tak akan maafkan kumpulan yang biadap ini.

Saya ingin ingatkan kepada mereka yang di sebalik tabir, Malaysia ini ada undang-undang, ada polis dan mahkamah. Tidak ada sesiapa yang lebih tinggi dari perlembagaan. Baik saya atau orang lain.

No one is above the rule of law. Ini Malaysia. Malaysia, milik semua,” tulisnya juga.