Londeh tudung dan baju kurung atas pentas, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah hina Islam

berita terkini

SEORANG wanita yang tular apabila memuat naik video menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Tertuduh, Siti Nuramira Abdullah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas sebuah kelab komedi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Restoran Crack House Comedy Club, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), pukul 6 petang, pada 4 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama, di antara orang yang menganut agama sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pembelaan dan pendakwaan.

Sebutan kes ditetapkan pada 18 Ogos ini.

Manakala teman lelaki wanita berkenaan yang berusia 38 tahun akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan Siti Nuramira yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak, menanggalkan baju kurung dan tudungnya semasa membuat persembahan di kelab komedi di TTDI.

Tindakannya itu mengejutkan ramai pihak termasuk golongan selebriti yang beranggapan tindakan itu menghina agama Islam.

Sumber: Berita Harian