Treler bawa besi rempuh puluhan kenderaan: Wanita maut dihempap, kanak-kanak putus kaki

berita terkini

SEORANG wanita maut, manakala seorang kanak-kanak dipercayai anak mangsa putus kaki dalam satu kemalangan yang membabitkan puluhan kenderaan di Jalan Kemunting, Pasir Puteh, Kelantan.

Seorang lagi parah dalam satu kemalangan yang berlaku sekitar pukul 9 pagi tadi, lapor Astro AWANI.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila treler yang membawa muatan besi terbalik dan menghempap mangsa, enam buah kenderaan, dua buah motosikal serta 21 buah basikal.

Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, PBK II Siti Nor Raihan Mohamad Harami, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler gagal mengawal kenderaan dipandunya menyebabkan ia terbalik.

Memetik laporan Astro AWANI lagi, penunggang motosikal yang maut berusia 30-an manakala kanak-kanak lelaki berusia bawah 12 tahun yang putus di bahagian paha dipercayai anak mangsa yang membonceng motosikalnya.

Selain itu, enam buah kereta dan dua buah motosikal serta 21 penunggang basikal dari kumpulan kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Hospital USM Kubang Kerian turut terlibat dalam kemalangan itu.

Bagaimanapun, hanya seorang penunggang dilaporkan mengalami cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan.

Hasil siasatan awal mendapati treler berkenaan mengalami masalah brek.

Sumber: Astro AWANI