Lelaki mengaku bersalah cuai biarkan anjing gigit tangan bayi sampai terputus

SEORANG lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas kesalahan dengan sengaja meninggalkan anjing peliharaannya di rumah sehingga mengakibatkan bayi berusia tujuh hari putus tangan kanan akibat digigit.

Gan Tiong Guey didenda RM1,000 atas kecuaian terhadap anak saudaranya itu yang dilakukan di Taman Widuri Bachang pada 8 September lalu sekitar jam 9 pagi.

Sementara itu, isterinya, Heng Chiew Lan dalam prosiding berasingan, turut didakwa atas tuduhan sama iaitu dengan sengaja mendedahkan mangsa sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, Chiew Lan mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM5,000 sebelum mahkamah menetepkan tarikh 18 Disember untuk sebutan semula kes.

ISTERI tertuduh, Heng Chiew Lan (kanan) mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM5,000 sebelum mahkamah menetepkan tarikh 18 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, bayi berkenaan diletakkan berhampiran pintu rumah bagi tujuan menjemur untuk merawat demam kuning.

Manakala wanita tersebut dikatakan meninggalkan bayi itu seketika untuk mengambil air panas untuk memandikannya sebelum menyedari tangan kanan bayi tersebut digigit anjing jenis “Plott Hound” dari luar pagar diikuti tangisan bayi yang berlumuran darah. – TheNews Malaysia