Isu Negaraku Bahasa Mandarin, Guru Besar SJKC Dipanggil

Dua saksi telah dirakam keterangan berhubung sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Seremban menyanyikan lagu Kebangsaan ‘Negaraku’ dalam Bahasa Mandarin, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Kemudian, Beliau berkata dua saksi berkenaan adalah Penolong Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan, Pejabat Pendidikan Daerah (Aduan/Siasatan) dari Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan serta Guru Besar SJKC itu.

“Rakaman percakapan ke atas saksi-saksi lain akan di laksanakan berdasarkan temu janji yang telah diaturkan,” katanya dalam kenyataan pada awal pagi ini.

Pada 6 Disember lepas, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan menyatakan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan melibatkan Perlembagaan Malaysia sama ada secara sengaja atau tidak.

Video berdurasi satu minit 23 saat yang menunjukkan pelajar sekolah tersebut menyanyikan lagu Negaraku dalam Bahasa Mandarin didakwa dirakam pada 26 September, 2018 di sebuah sekolah SJKC di Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam insiden berkaitan, nyanyian lagu kebangsaan dinyanyikan dalam Bahasa Arab dikesan berlaku di sebuah sekolah kebangsaan di Gurun, Kedah.

“Rakaman percakapan atas saksi-saksi yang dikenal pasti telah di laksanakan semalam melibatkan Guru Besar, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda, Kedah serta suspek yang merakam serta memuat naik video itu dalam Facebook.

“Sehingga kini polis menerima lapan laporan berkaitan isu sama dan kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Pada 7 Disember lepas, rakaman lagu Negaraku dinyanyikan sekumpulan remaja di dalam kelas dipercayai sekolah agama dan sekolah rendah yang masing-masing berdurasi antara satu minit dua saat hingga satu minit 28 saat.

Huzir berkata kertas siasatan bagi kedua-dua kes ini akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.

Mengenai kes berkaitan video tular Jalur Gemilang bintang pecah lima dan jalur merah/putih 11 baris, Huzir berkata polis menerima 31 laporan mengenainya dan susulan itu telah mengambil keterangan daripada lima saksi terdiri daripada pengadu, penganjur, setiausaha eksekutif persatuan, pengarah syarikat dan vendor teknologi maklumat.

Bagaimanapun, sumber Bernama melaporkan, rampasan perkakas yang digunakan turut dilakukan.

Most Popular