UCL 2019/20: Barcelona Sekat Kemaraan Inter, Borussia Dortmund Layak ke Pusingan Kalah Mati

Pemain remaja Barcelona, Ansu Fati mencatat rekod selaku penjaring gol termuda dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dalam perlawanan yang menyaksikan Inter Milan ditunjukkan jalan keluar dari kejohanan itu selepas tewas 2-1.

Pemain berusia 17 tahun itu masuk menggantikan Carles Perez pada minit ke-85 dan hanya memerlukan seminit sahaja untuk menjaringkan gol selepas menerima hantaran Luis Suarez.

 

Twitter – FC Barcelona

 

Barcelona yang sudah pun layak sebelum ini mendahului permainan pada pertengahan babak pertama menerusi rembatan jarak dekat Carles Perez yang membuat penampilan pertamanya dalam UCL.

Seminit sebelum waktu rehat, Romelu Lukaku menyamakan kedudukan hasil percubaan dari jarak jauh, namun jaringan lewat permainan oleh Fati memastikan Inter dihantar ke saingan Liga Europa selepas sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga.

Sementara itu, Borussia Dortmund meneruskan kemaraan ke peringkat kalah mati selepas penyerang muda England, Jadon Sancho menjaringkan satu gol dan membuat satu bantuan jaringan menumpaskan Slavia Prague 2-1 di tempat sendiri.

Twitter – Borussia Dortmund

Sancho menyudahkan hantaran Marco Reus seawal minit ke-10 tetapi Slavia kemudian mengikat kedudukan sebelum tamat babak pertama menerusi gerakan bijak Milan Skoda yang disudahkan Tomas Soucek.

Sancho kemudian membantu gol Julian Brandt yang membuat jaringan dari sudut sukar dan selepas itu Dortmund terpaksa bertahan sehinggat tamat perlewanan apabila Julian Wiegl dilayangkan kad merah ketika permainan berbeki 13 minit.

Borussia Dortmund berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam enam daripada tujuh penampilan mereka dalam saingan UCL. Slavia Prague pula masih kekal gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 11 perlawanan dalam kejohanan Eropah itu.