Iklan Cari “Sugar Daddy” Tepi Masjid Sudah Diturunkan, Warganet Tetap Luah Kekecewaan

Cukup memualkan buat warganet apabila iklan yang menawarkan perkhidmatan mencari “sugar daddy” buat gadis di luar kini di letakkan secara umum di tepi jalan.

Di letakkan di beberapa lokasi utama Kuala Lumpur, iklan yang dikendalikan syarikat Sugarbook ini adalah aplikasi yang digunakan mereka yang ingin mencari “sugar daddy” dan “sugar baby”

Yang dalam erti kata lain iklan ini seperti memberi peluang buat lelaki kaya untuk mencari cinta dikalangan gadis muda dan sebaliknya jua.

Melihatkan ini sebagai antara gejala yang tidak bermoral, warganet kini mempersoalkan pihak berwajib tentang kewajaran mereka melepaskan iklan begitu menjadi tontonan orang awam malah yang lebih teruk iklan tersebut juga diletakkan berhampiran masjid.

Menjawab persoalan ini ahli parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata papan tanda (LED) berdekatan dengan Masjid Saidina Abu Bakar tersebut sudahpun diturunkan.

“Tadi selepas solat maghrib di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, saya terlihat papan tanda di Bangsar Baru yang memainkan iklan sebuah aplikasi yang menimbulkan kontroversi.

Saya telah berhubung segera dengan Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta YB Khalid Samad, untuk menyatakan pendirian saya bahawa aplikasi dan iklan tersebut adalah tidak sesuai.

Saya difahamkan setakat jam 10 malam tadi iklan tersebut telah diturunkan (lihat video). Saya turut difahamkan iklan itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa. ,” tulisnya.

Menurut Fahmi juga siasatan akan dijalankan untuk mengenalpasti bagaimana iklan tidak bermoral ini terlepas pandang menjadi tontonan umum.

“Iklan serupa yang dimainkan di sebuah papan iklan LED di Publika Mont Kiara dalam kawasan parlimen Segambut (YB Hannah Yeoh) juga telah diturunkan.

“Siasatan akan dijalankan untuk mengenalpasti bagaimana iklan seperti ini boleh disiarkan, dan jika pengusaha didapati melanggar peraturan maka tindakan tegas akan diambil,” tulisnya lagi.