Home Terkini Hotel lima bintang di Langkawi terbakar dua kali dalam 24 jam

Hotel lima bintang di Langkawi terbakar dua kali dalam 24 jam

DUA kali terbakar! Itu nasib sebuah hotel bertaraf lima bintang di Langkawi apabila terlibat dengan kebakaran yang merupakan kejadian kali kedua dalam tempoh kurang dari 24 jam.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.13 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak akibat angin kencang melibatkan bangunan blok B dengan keluasan dianggarkan 300 x 900 kaki terbakar hampir keseluruhan.

“Bomba berdepan sedikit kesukaran apabila bekalan air kurang dan akses ke dalam bangunan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Hotel bertaraf lima bintang terbakar kali kedua dalam tempoh 24 jam.

Menurutnya lagi, operasi pemadaman menumpukan pada bahagian sayap utama bangunan menggunakan dua pancutan air dari jentera bomba.

Kawalan kebakaran turut membabitkan sebuah restoran di kawasan bersebelahan bangunan hotel bagi mengelakkan api menyambar bahagian utama bangunan.

Mohamadul Ehsan memaklumkan, anggaran kemusnahan dikatakan melibatkan hampir keseluruhan struktur bangunan berikutan bangunan yang diperbuat daripada kayu.

Setakat ini, operasi pemadaman api masih giat dijalankan.