Hari sedih buat Serina Redzuawan dan Zahid AF

Perintah Kawalan Pergerakan hari pertama semalam mencatatkan kisah sedih untuk industri hiburan negara apabila penyanyi dan pelakon Maya Matahari meninggal dunia akibat kanser tisu.

Sementara itu, pada hari yang sama juga bekas isteri Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, Norhayate Ayub meninggal dunia di Hospital Ampang akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, hari ini.

Berita sedih itu dikongsi Chef Wan di Instagramnya semalam

“Dengan rasa dukacita, saya memaklumkan bekas isteri baru meninggal dunia di Hospital Ampang.

Saya sedang menguruskan apa yang perlu untuk urusan pengebumian esok. Saya akan beritahu sanak-saudara kemudian,” tulisnya.

Sementara itu, anak Chef Wan, Serina dan Chef Riz turut memuat naik entri di instagram masing-masing memohon doa untuk ibu tercinta mereka.

Berkongsi kesedihan yang sama adalah juara musim kedua Akademi Fantasia (AF), Zahid. Semalam bapanya Baharudin Md Arif, 70, meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak, pada jam 4.16 petang tadi.

Zahid memberitahu, bapanya menghembuskan nafas terakhir akibat pendarahan dalam kepala selepas terjatuh di rumah.