Anak Ali Puteh Kini Kritikal, Bergantung Kepada Mesin Pernafasan.

Pelawak yang juga ahli kumpulan Puteh, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan atau Ali kini menunggu keajaiban untuk anak keduanya Sharifah Ainul Mardhiah.

Kata Ali kepada The News sebentar tadi, anaknya yang berusia 3 bulan itu kini kritikal dan bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan selepas menjalani pembedahan selama 12 jam.

Anak saya menjalani pembedahan untuk membetulkan injap jantung memandangkan dia mempunyai masalah injap terbalik. Bagaimanapun ketika ini doktor memberitahu anak saya hanya ada peluang 50 peratus untuk hidup.”

Malah ketika ini juga dia bergantung kepada mesin pernafasan sahaja,” katanya yang tidak dapat menahan sebak.

Tambah Ali dia dan isteri sangat berharap agar mereka di luar sana boleh terus mendoakan kesembuhan anak keduanya ini. Kongsinya sebagai ayah tiada apa yang diinginkan dia selain untuk melihat puterinya itu kembali sihat.

Saya mahu ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang terus mendoakan anak saya. Sebagai ayah memang saya harap ada peluang untuk anak saya sihat sepenuhnya.”

Ketika ini anak saya masih belum sedarkan diri dan saya dan isteri hanya bergilir-gilir melihatnya dalam wad,” katanya yang kini juga sibuk sebagai peserta dalam Maharaja Lawak Mega 2019.

Sementara itu jelas Ali penyakit anaknya ini hanya dikesan selepas seminggu dilahirkan. Malah sepanjang tiga bulan selepas dilahirkan juga anaknya lebih banyak berada di hospital untuk rawatan susulan. Selain injap terbalik, Ainul Mardhiah juga mempunyai masalah jantung berlubang.