Sahih! Apple perlu guna USB-C pada iPhone menjelang 2024, selamat tinggal Lightning!

Sahih! Apple perlu guna USB-C pada iPhone menjelang 2024, selamat tinggal Lightning
Usb port photo created by pvproductions - www.freepik.com

PESURUHJAYA Eropah (EC) telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka dan negara anggota bersetuju meluluskan undang-undang mewajibkan semua peranti hadir dengan port pengecasan USB-C pada Selasa.

Undang-undang ini bakal berkuat kuasa bermula September 2024, lapor Wiser.

Ia bermakna semua peranti yang dipasarkan di negara anggota Kesatuan Eropah perlu menyokong pengecasan USB-C.

Malah, tindakan undang-undang bakal diambil jika undang-undang tersebut tidak dipatuhi.

USB-C adalah jenis sambungan yang digunakan kebanyakan barangan elektronik bersaiz kecil termasuklah tablet, peranti rokok elektronik, power bank dan semestinya telefon pintar.

Namun hanya syarikat elektronik gergasi Apple yang menetapkan peranti mereka menggunakan sambung Lightning ciptaan mereka sendiri.

Bagaimanapun Apple sudah pun memasang port Type-C pada beberapa peranti mereka seperti MacBook dan iPad Pro.

memetik laporan Wiser lagi, undang-undang ini masih perlu diluluskan di Parlimen dan Majlis EU namun ia hanyalah “cukup syarat” kerana ia pastinya akan diluluskan.

Langkah ini diambil EC bagi memudahkan pengguna kerana USB-C adalah kebiasaan bagi banyak pengguna selain membantu mengurangkan hasil buangan elektronik yang membahayakan kesihatan bumi.

Apple sebelum ini menjelaskan mereka masih dengan pegangan sebelum ini iaitu khuatir undang-undang sebegini akan merencatkan inovasi dan membahayakan pengguna seluruh pengguna.

Bagaimanapun mereka tidak menolak untuk berkongsi iltizam yang sama dengan EU tentang pemeliharaan alam sekitar.

Apple akan terus bekerjasama dengan pemegang taruh untuk mencari penyelesaian isu ini yang memberi manfaat pada pengguna dan pada masa sama mencambahkan inovasi.

Jadi adakah iPhone di luar pasaran Eropah turut akan menerima pengecasan USB-C selepas ini?

Jawapannya masih lagi samar kerana kita tahu Apple berpendirian teguh untuk kekal dengan pengecasan kabel Lightning.

Penulis juga teruja untuk melihat perubahan ini dimulakan biarpun masih ada tempoh dua tahun sebelum ia dikuat kuasa.

Sumber: Wiser.my, European Parliament