Home Hiburan Sensasi Search ‘menggila’, umum cadangan 8 lagi konsert!

Search ‘menggila’, umum cadangan 8 lagi konsert!

Search ‘menggila’, umum cadangan 8 lagi konsert

KUMPULAN rock legenda, Search, dilihat seakan enggan membiarkan demam Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang berlangsung Sabtu lalu ‘kebah’.

Melalui satu pendedahan di laman Facebook rasmi mereka, Search mengumumkan ‘blueprint’ lapan lagi konsert yang akan dijayakan dalam masa terdekat.

Melalui kertas cadangan itu, Borneo Tour yang dijangka berlangsung antara Ogos hingga Oktober tahun ini di lima lokasi.

Antara lokasi yang dicadangkan ialah Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Turut disenaraikan ialah Miri serta Kuching.

Lebih menarik, kumpulan yang ditubuhkan lebih empat dekad lalu ini turut mendedahkan perancangan untuk mengadakan konsert jelajah Asia dia Bandung serta negara seberang tambak.

“Lokasi-lokasi ini telah dikenal pasti untuk lokasi seterusnya selepas kejayaan penganjuran Konsert Search : Rockin’ On Rooftop tempoh hari.

“Kami bersedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau individu yang ingin menjayakan konsert di beberapa lokasi yang terdapat dalam blueprint kami,” tulis Search.

Individu atau pihak yang berminat untuk penganjuran serta tajaan juga diminta menghubungi pihak pengurusan Search dengan segera.

“Segala cadangan penganjuran atau tajaan, boleh hubungi pihak pengurusan Search.

“Kepada peminat Search, jumpa anda di lokasi tersebut dan teruskan sokongan,” tulis Search lagi.

Harga tiket pula dijangka bermula serendah RM68.00.

Sabtu lalu, Search menjayakan Konsert Search Rockin’ On Rooftop yang berlangsung di bumbung Kompleks Campbell, Kuala Lumpur.

Dengan kehadiran lebih 3,000 peminat, Search yang dibarisi Kid (pemain gitar), Din (pemain gitar), Yan (bass), Minn (dram) dan Denden Gonjalez (vokal) dilihat berjaya mengembalikan kegemilangan muzik rock and roll.

Konsert turut melihat kehadiran peminat tegar kumpulan berusia lebih empat dekat itu yang datang dari Singapura dan Indonesia.

Konsert tambah gamat dengan kemunculan Ratu Rock, Ella  yang mempersembahkan dua lagu iaitu Melayar Bahtera dan Bayangan iaitu duet bersama Denden.

Search menyampaikan keseluruhan 17 buah lagu buat peminat.

Lebih manis, kejayaan penganjuran konsert tersebut masih hangat diperkatakan sehingga kini di laman sosial.

Kumpulan legenda ini ditubuhkan sejak 1981, namun kini berpecah dua gara-gara konflik dalaman.