Watie Yakin Shuib Mampu Jadi Suami Yang Baik, Berdasarkan Pengalaman Lalu

SEDAR atau tidak, sudah lebih sebulan pasangan merpati dua sejoli, Shuib dan Watie Hanifiah mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Kini, kedua-dua mereka dalam persediaan untuk melayari bahtera perkahwinan pada 23 Jun ini.

Berkesempatan bertemu dengan pasangan ini di majlis sidang media Walimatulurus Shuib & Watie kelmarin, mereka berkongsi mengenai persediaan mereka menuju tarikh itu.

“Tarikh keramat itu adalah pada 23 Jun ini. Itulah tarikh yang kami sudah pilih. Persiapannya berjalan dengan baik sekali. Setakat ini, sudah 90 peratus persiapan sudah disiapkan.

“Temanya adalah ‘dusty pink’ dan konsepnya, mutiara. Di majlis itu nanti, akan ada kejutannya dan sama-sama kita nantikan apakah mutiara yang akan ditampilkan,” kata Shuib.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 39, walaupun ada yang beranggapan tempoh masanya terlalu singkat untuk kedua-dua mereka melalui fasa pertunangan, itu adalah keputusan terbaik.

“Salah satu sebab saya nak percepatkan majlis adalah untuk elakkan perkara-perkara yang tidak diingini. Kami pun sudah berbincang dengan ibu bapa dan memilih Jun sebagai tarikh terdekat.

“Anak-anak pun semakin membesar dan banyak perhatian perlu diberikan kepada mereka terutamanya, anak bongsu yang sudah nak masuk dua tahun,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi anak-anak, Shuib bersyukur kerana mereka sudah mula selesa dengan kehadiran Watie yang akan mengisi ruang dalam rumah tangga mereka.

“Reaksi anak-anak sangat positif. Mereka nampak gembira dan okay. Mungkin mereka juga sudah selesa dengan Watie. Jadi, tak ada detik-detik sukar buat mereka,” katanya.

Pernah dihujat dengan pelbagai kata-kata daripada orang luar, Shuib mengakui tidak mampu menutup mulut setiap orang dan akan terus melayari kehidupannya bersama keluarga dan bakal isterinya.

“Kata-kata atau tindakan orang luar adalah perkara yang saya tak boleh nak tahan atau halang. Harapnya, kalau kita menuju ke arah kebaikan, kita akan menjadi lebih positif.

“Perkara-perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Apa pun, saya perlu menghargai orang yang datang ke dalam kehidupan saya.

“Bila Allah dah buka jalan dan tunjukkan kepada saya, saya kena hargai. Bergerak ke hadapan, saya harus jaga dia. Yang penting, keluarga termasuklah anak-anak faham dan sudah biasa,” katanya.

Bagi Watie, 35, kehadiran Shuib dan anak-anaknya, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayash Affan membawa kebahagiaan dalam kehidupannya.

“Saya lebih kepada bersyukur atas apa yang Allah sudah tentukan. Sebelum ini, saya pergi dan pulang dari kerja, saya sendirian. Sekarang, saya ada anak-anak yang boleh temankan dan ada yang menghiburkan,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi keluarga dan bagaimana dia mendekati anak-anak hasil perkahwinan Shuib dan Allahyarham Siti Sarah itu, Watie berkata, dia sememangnya mudah mesra dengan kanak-kanak.

“Keluarga berikan semangat sebab mereka tahu, saya dah biasa dengan kanak-kanak. Penerimaan daripada keluarganya juga sangat baik.

“Saya dah biasa menjaga anak-anak buah. Selalunya, kalau kawan-kawan yang sudah berkahwin ada apa-apa majlis atau acara, mereka akan hantar anak-anak mereka ke rumah untuk saya jagakan.

“Jadi, saya dah terbiasa dengan kanak-kanak,” katanya.

Ditanya mengenai sikap Shuib yang menarik perhatiannya untuk meneruskan hubungan ke fasa perkahwinan, Watie menggambarkan Shuib sebab sosok yang sesuai sebagai suami dengan ‘track record’ yang bersih.

“Saya tertarik dengan Shuib kerana ‘rekod’ yang baik. Saya tahu, bagaimana dia melayan arwah sebagai suami isteri. Jadi, saya dapat lihat bagaimana dia boleh menjadi suami dan pemimpin yang baik,” katanya.

Saat ditanya mengenai komen-komen netizen yang datang dari pelbagai sudut dengan pelbagai pendapat, Watie membaca komen itu seperti angin yang berlalu.

“Saya baca komen-komen negatif seperti angin yang berlalu. Kami tak pernah berbincang atau terlalu berfikir mengenainya. Tutup saja telefon, semuanya tamat di situ saja.

“Bagi saya, saya nak hidup dengan dia, anak-anaknya serta keluarga. Pandangan orang lain, bukanlah perkara utama yang perlu saya ambil kira.

“Ketika kami berkawan pun, kami tak jangka akan sejauh ini kerana kami hanya mengikut arus waktu,” katanya.

Perjalanan cinta Shuib dan Watie juga akan ditayangkan menerusi tiga episod program eksklusif Walimatulurus Shuib & Watie yang akan ditayangkan di saluran Astro Ria pada bermula 24 Jun.

Tidak hanya itu, hari bahagia mereka juga akan dirakamkan dan ditayangkan dalam program Romantika yang akan ditayangkan selepas tamat program Walimatulurus Shuib & Watie.

Sumber gambar – Gempak | Sumber laporan – Harian Metro