Usop tak lena tunggu pelancaran ‘Lenyap’, dedah tiada sekuel seterusnya – “Heroin pun dah tiada”

NAIB juara program Big Stage 2020 iaitu Usop mendedahkan dia terlalu risau akan hari pelancaran single terbaharunya berjudul Lenyap sehinggakan tidak dapat tidur malam.

Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor bagaimanapun menjelaskan semuanya beransur pulih apabila single sekuel kepada lagu Aku Yang Bersalah dan Selamanya selamat dilancarkan 29 Januari lalu.

“Memang tak dapat tidur mala, saya gelisah memikirkan apa pendapat peminat tentang lagu Lenyap.

“Namun saya lega apabila lagu tulisan Ja’a, Romal, Karim Karam dan Mike Chan ini mendapat respons baik peminat,” kata Usop kepada The News Malaysia.

Penyanyi kelahiran kulim, Kedah ini juga mendedahkan tidak akan ada sekuel seterusnya untuk lagu ini.

Lenyap mendapat lebih 90 ribu tontonan di Youtube selepas 3 hari dilancarkan.

“Jika diikutkan jalan cerita dalam klip video lagu ini, memang tidak akan ada lagi sekuel seterusnya.

“Heroin yang ditonjolkan dalam penceritaan Lenyap pun sudah dimatikan wataknya. Kita tunggu jalan cerita lain pula selepas ini,” jelas Usop.

Klip video rasmi Lenyap

Dalam perkembangan lain, Usop, 24, mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kini serba sebanyak memberi kesan kepada karier seninya.

Dia bagaimanapun menggunakan masa lapang dengan melayan permintaan peminatnya.

“Saya lebih banyak menghabiskan masa di kampung bersama keluarga dengan membantu mereka menguruskan perniagaan nasi kandar kami.

“Selain itu, saya juga turut menggunakan masa yang ada ketika PKP dengan membuat cover video atas permintaan peminat-peminat saya,” ujar Usop.