Terpaksa tangguh bantuan ke Sabah, Ebit Lew boleh dijel

NIAT murni seorang pendakwah bebas, Ebit Lew yang sinonim dengan aktiviti kebajikannnya terpaksa ditangguhkan setelah beliau tidak dibenarkan untuk meneruskan misi bantuan di Sabah.

Ebit Lew menerusi hantarannya di Facebook memaklumkan, tindakannya itu boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 serta penjara tiga tahun sekiranya masih ingin meneruskan misi bantuannya di pulau-pulau di Semporna.

Bagaimanapun Ebit Lew tidak mendedahkan individu yang mengeluarkan arahan tersebut kepada pihaknya.

“Sayu hati. Saya minta maaf pada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan. Saya tangguhkan niat bina sekolah.

“Pagi ini saya dimaklumkan saya tidak dibenarkan untuk ke pulau-pulau di Semporna Minta diberhentikan bantuan di sekitar sini. Saya diberitahu antara hukuman boleh dikenakan didenda 100 ribu atau penjara 3 tahun.

“Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang,”’ kata Ebit yang juga seorang usahawan yang berjaya dalam hantaran berkenaan.

Menerusi hantarannya itu, beliau juga memohon maaf pada tujuh orang guru yang sudah dikumpulkannya untuk membantu mendidik masyarakat yang diIslamkannya baru-baru ini.

“Saya dah beli kayu-kayu. Saya dah kumpul 7 orang guru. Semangat mereka nak mendidik. Dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf yer ustaz ustazah semua.

“Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri. Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati perjuangan di teruskan,” jelasnya lagi.

Pada Ahad lalu, Ebit berjaya membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.

Misi dakwah itu dilakukannya ketika beliau ke Pulau Tatagan Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu. – TheNewsMalaysia