Tunang tahu semua kontroversi saya – Syazwan Zulkifly

Tunang tahu semua kontroversi saya - Syazwan Zulkifly
Tunang tahu semua kontroversi saya - Syazwan Zulkifly

Ternyata perkenalan 10 tahun memberi kelebihan buat hubungan pelakon Syazwan Zulkifly, 32, dan tunangnya Syawariah Zulkifli, 32.

Kongsi Syazwan dia juga turut bersyukur untuk bertemu seorang wanita yang bukan sahaja memahami sikapnya tetapi juga kerjaya sebagai seorang pelakon.

“Kami sudah saling mengenali sejak 10 tahun lalu. Pada mulanya kami hanya berkawan biasa.

“Tetapi tempoh 10 tahun itu cukup membuatkan kami mengenali sikap masing- masing. Malah ketika saya berhadapan dengan pelbagai kontroversi juga dia turut berada dengan saya.

“Jadi tidak ada masalah untuk dia sendiri menerima kerjaya saya sebagai pelakon,”katanya pada sidang media Anugerah Skrin 2019 sebentar tadi.

Sementara itu Syazwan turut memberitahu dia dan tunangnya masih belum membuat keputusan mengenai tarikh perkahwinan mereka. Tambahnya buat masa ini mereka masih sibuk dengan urusan kerjaya.

“Belum ada tarikh untuk saya kongsikan. Sebab kami juga masih memberi fokus kepada kerjaya. Malah tunang saya juga sibuk sebagai pramugari.

“Apa yang pasti kalau sudah ada tarikh saya akan kongsikan. Tidak akan sorokkan apa-apa,”katanya.