Tajul Ariff akui Kongsi “Password IG” dengan isteri antara tips kekalkan kebahagiaan rumah tangga

Berkongsi kisah berkahwin diusia muda, penyanyi Tajul Ariff, 22, menjelaskan dia tidak pernah melihat keputusan menjadi suami dan bapa ketika rakan-rakanya yang lain sibuk menikmati usia remaja sebagai sesuatu yang perlu dikesalkan.

Tambahnya berkahwin muda memberi peluang untuk dia menikmati kebahagiaan berbeza yang dalam masa yang sama mengajar dia erti tanggungjawab.

“Bila berkahwin saya dapat melalui pengalaman berbeza di usia saya kini. Seronok sebenarnya dan saya tidak pernah menyesal untuk berkahwin di usia muda,”katanya.

Sementara itu ditanya mengenai tips yang boleh dikongsi sebagai seorang bapa dan suami kini kata Tajul apa yang penting adalah ketelusan.

“Saya masih menikmati kehidupan di usia ini seperti rakan-rakan lain. Cuma sebagai suami kita kena maklumkan kepada isteri tentang waktu bilik.

“Sama seperti penggunaan laman sosial, saya dan isteri sendiri memang tahu kata laluan masing-masing. Sebab tidak mahu perkara ini jadi isu suatu hari nanti,”tambahnya.

Tidak menolak pengumuman perkahwinannya tahun lalu mengejutkan ramai pihak. Tambah Tajul memang ada beberapa peminatnya juga berhenti menyokongnya namun dia lebih bersyukur apabila sokongan yang diberikan lebih banyak kini.

“Memang ada yang berhenti menyokong tetapi saya tidak boleh paksa dalam hal ini. Namun saya juga bersyukur apabila masih ramai yang menyokong karier saya,” katanya.