Shuk Sahar kena khianat dengan budak Myvi, air jualan disimbah ke tanah!

PELAWAK terkenal Shuk Sahar berdepan situasi getir apabila perniagaan air di tepi jalan di sebuah lokasi di Wangsa Maju menjadi mangsa sabotaj pihak tidak dikenali.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar berkata gerainya tiba-tiba didatangi beberapa lelaki menaiki kereta Myvi sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

Air jualan Shuk disimbah ke tanah.

“Sebenarnya saya buka gerai tersebut untuk lihat bagaimana permintaan pelanggan sebelum membuat pembukaan rasmi Semooth Cafe yang akan dibuka 21 Mac ini.

“Tapi tiba-tiba saya dan pekerja didatangi beberapa lelaki berbadan saya menaiki kereta Myvi putih, mulanya ingat nak beli air jualan saya namun tiba-tiba mereka mula mengeluarkan kata-kata kesat kepada pembantu saya.

“Lebih mengejutkan bila salah seorang daripada mereka turun daripada kenderaan dan terus mencekik pembantu saya lalu menolak balang air sehingga jatuh ke tanah, kata Shuk ketika dihubungi The News.

Bekas penyampai radio ini bagaimanapun menjelaskan dia sudah membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya.

Dia juga sempat mengambil nombor pendaftaran kenderaan tersebut untuk rujukan pihak polis.

“Saya kecewa, tak sangka ada yang busuk hati sampai sanggup buat begini kepada perniagaan saya. Apalah salah saya kepada mereka?

“Tapi saya bernasib tidak di apa-apakan dan sempat mengambil nombor pendaftaran kenderaan tersebut untuk tindakan lanjut pihak polis,” tambah Shuk.

Dalam pada itu, Shuk berharap agar bersemuka dengan pelaku untuk menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.