Kami memang pelawak, tapi memfitnah kami PATI itu bukan jenaka tetapi biadap – Zero

Meskipun bergelar seorang pelawak, namun bagi Sharif Zero fitnah yang mengatakan dia dan dua lagi anggota kumpulan Zero sebagai pendatang asing tanpa izin ( Pati) adalah sesuatu yang cukup biadap.

Tambahnya perkara sebegini sangat sensitif selain tidak seharusnya dicetuskan oleh mana-mana pihak. Tidak mahu perkara ini terus dipermainankan mana-mana pihak, kongsi Sharif dia sudahpun membuat laporan polis.


“Kami mungkin pelawak, tetapi bergurau soal seperti ini sangat mencalar maruah kami. Ada batas dalam membuat lawak dan perkara ini sangat sensitif.

“Sebelum-sebelum ini memang ada dikalangan pengguna laman sosial yang turut mengeluarkan komen biadap, tetapi menyebarkan fitnah mengatakan kami pendatang tanpa izin adalah yang palinh teruk dan sudah sampai masanya kami mengambil tindakan,”katanya kepada The News Malaysia baru-baru ini.

Jelas Sharif pada mulanya dia tidak tahu penyebaran fitnah ini dilaman sosial, namun salah seorang peminat mereka menghantar tangkap layar fitnah berkenaan yang turut mendapat perhatian ramai.


Tidak sekadar memberi tekanan kepada dia dan dua adiknya Syaiful dan Atu, kongsi Sharif perkara ini turut menjejaskan keluarga mereka di Sabah.

“Ini soal maruah kami. Sebab itu saya sudah membuat laporan polis selain turut menghantar pesanan melalui Facebook agar individu berkenaan bertemu sendiri dengan saya untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya secara bersemuka. Namun dia sudah menyekat saya.

“Keluarga saya di Sabah juga turut sedih dengan perkara ini,”katanya yang bakal berentap di pentas akhir Maharajalawak Mega 2019 Jumaat depan.