Cukup isteri dan anak kenal saya – Awal Ashaari

Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari tidak melihat dakwaan yang mempersoalkan seksualitinya sebagai sebagai sesuatu yang perlu dirunsingkan.

Tambahnya ini bukan perkara baharu memandangkan dia sudah melaluinya sejak awal kemunculan dalam bidang seni.

“Sebelum saya berkahwin memang saya sering dihujani soalan-soalan ini. Saya tidak nafikan ada yang mendakwa saya anak ikan dan sebagainya tetapi saya anggap mungkin persoalan itu datang melalui pergaulan saya dengan orang di dalam industri ketika itu.

“Jujurnya itu adalah perjalanan yang saya lalui sebagai anak seni dan Alhamdulillah selepas berkahwin semuanya kisah-kisah ini tidak lagi timbul,” tambahnya.

Tidak melihat perkara ini terlalu serius, tambah Awal dia lebih mementingkan penilaian keluarganya sendiri daripada mereka di luar sana.

“Cukup sekadar isteri dan anak saya kenal siapa saya, sebab bukan senang mahu tutup mulut orang. Jujurnya perkara ini tidak merunsingkan saya pun, sebab saya lansung tidak ambil pusing,” tambahnya lagi.

Sementara itu Awal yang kini kembali menjadi pengacara Melodi juga bakal muncul di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL34). Selain Awal dua lagi pengacara yang akan memeriahkan acara paling berprestij itu pada 9 Februari depan, adalah , Sherry Al Hadad dan Haziq Hussni .

AJL34 yang akan disiarkan secara langsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, pada 9 Februari depan mulai jam 9 malam.