Rebah atas pentas Ayie Floor 88 kecewa dakwaan hanya gimik

    “Ini bukan gimik, ini bukan perkara yang boleh dibuat main” itu luahan hati penyanyi utama kumpulan Floor88, Ayie ketika dihubungi The News Malaysia sebentar tadi mengenai dakwaan yang kononnya kejadian dia rebah di atas pentas semalam hanya gimik.

    Tambah Ayie, dia juga kecewa dengan komen yang ditinggalkan itu selain menyifatkan individu tersebut tidak sensitif apa yang dilaluinya.

    “Saya ada terbaca juga komen yang mengatakan apa yang berlaku semalam sebagai gimik, kecewa sebenarnya sebab bukan mereka yang berada di atas pentas.

    “Bukan mereka yang lalui apa yang kami laluinya semalam. Ini bukan perkara yang boleh di buat main ini soal kesihatan,”katanya tegas.

    Semalam penyanyi ini tiba-tiba rebah ketika mengadakan persembahan di Konsert bersempena meraikan Hari Keputeraan Ke-72 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang diadakan di padang awam Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

    Dalam video yang dimuat naik di laman Instagram kumpulan ini Ayie dilihat rebah secara tiba-tiba semasa menyanyikan lagu Aqilah.

    “Semasa bertolak ke Seri Menanti semalam keadaan kesihatan saya tidak ada masalah malah semuanya dalam keadaan baik. Tetapi semasa membuat latihan beberapa jam sebelum persembahan saya akui tidak sedap badan selain suara saya juga tiba-tiba serak.

    “Saya turut memberitahu ahli kumpulan lain, tetapi dalam masa yang sama saya yakin untuk teruskan persembahan. Tetapi ketika kejadian memang saya tidak nafikan saya sudah cuba untuk bertahan tetapi tidak mampu sebelum pitam,” katanya

    Sementara itu ditanya mengenai keadaannya kini, Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah ,22, memberitahu dia kini beransur pulih selain sedang berehat.

    “Saya hanya pitam di atas pentas semalam, selepas mendapat bantuan pasukan perubatan semuanya kembali okey. Buat masa sekarang saya hanya di minta berehat selain minum banyak air.

    “Buat masa ini saya akan berehat dalam tempoh lima hari, Tetapi saya akan tetap ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut,” tambahnya.