‘AME 2020’ LAKAR SEJARAH PERINTIS KANDUNGAN ‘4K UHD’

Anugerah MeleTOP Era atau ‘AME’ ialah sebuah anugerah pilihan penonton yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bagi kesemua 15 buah kategori utama yang dipertandingkan. Senarai penuh pencalonan akhir ‘Top 5’ bagi setiap kategori sudahpun dikenal pasti setelah talian undian fasa pertama yang dibuka pada 29 Januari 2020 ditutup secara rasmi pada 25 Februari lalu.

 

Penganjuran ‘AME 2020’ edisi ketujuh penuh gemilang yang mengetengahkan tema ‘Epik Glam’ dengan tagline ‘Yang Epik, Yang Legend’ bakal dipancarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari Ahad, 12 April 2020, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

 Lebih istimewa, para pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’ kini boleh menyaksikan siaran ‘AME 2020’ dalam format resolusi kualiti 4K UHD yang menawarkan pengalaman menonton dengan ciri-ciri teknologi terkini dan didatangkan beserta paparan visual yang lebih menakjubkan menerusi peranti pilihan masing-masing tanpa sebarang caj tambahan.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘AME 2020’ turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan on demand.

Putri Yasmin Megat Zaharuddin,

Naib Presiden Strategi Kandungan, Perniagaan Antarabangsa dan GenNext Astro

AME 2020 menjadi taruhan pertama Astro dalam membawakan program televisyen yang bersiaran secara langsung menggunakan teknologi format 4K UHD. Majlis penganjuran acara berskala besar dan berprestij seperti AME ini dilihat sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan pengalaman menonton yang dilengkapi dengan ciri teknologi terbaharu kepada para pelanggan. Ini kerana program tersebut bukan sahaja melibatkan barisan artis terkemuka dan selebriti media sosial yang cukup berpengaruh dengan bilangan pengikut yang besar, malah turut disaksikan oleh jutaan peminat di kesemua rangkaian termasuklah platform televisyen, online dan acara lapangan.

 Harapan kami agar penganjuran AME 2020 bakal menjadi sebuah lagi testimoni hebat dalam usaha mengangkat dan meraikan bakat dan karya seni hiburan terbaik di Malaysia merangkumi cabang filem, muzik dan televisyen – segalanya kini lebih jelas menerusi paparan format resolusi 4K UHD!

 Kami dengan ini mengalu-alukan kehadiran rakan niaga dan penaja untuk turut sama melakar sejarah baharu dalam dunia penyiaran di Malaysia.”

Raqim Ahmad, Ketua Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan & Drama Astro

‘Selaku peneraju kandungan kreatif utama di rantau ini, Astro terus mengorak langkah ke hadapan sekaligus melakar sejarah membanggakan dalam dunia penyiaran apabila muncul sebagai satu-satunya syarikat penyiar yang menawarkan siaran kandungan televisyen tempatan pertama di Malaysia dalam format resolusi 4K UHD menerusi penganjuran ‘AME 2020’. Inisiatif ini sekaligus menjadi pencetus perubahan yang membuka dimensi baharu kepada pasaran kandungan tempatan.

 Dalam pada itu, kami juga cukup terharu dengan sokongan luar biasa yang diterima untuk edisi tahun ini. Jumlah peratusan undian yang diterima untuk fasa pertama secara keseluruhan juga meningkat saban tahun dengan statistik terkini sebanyak 29% lebih tinggi berbanding tahun lalu. Prestasi cemerlang ini jelas membuktikan bahawa penganjuran ‘AME’ masih relevan dan diterima baik oleh para peminat.

 Bagi meletakkan jenama AME sebagai penanda aras kepada penganjuran majlis penganugerahan berprestij seumpama ini di Malaysia, kami telah menyusun strategi yang terbaik bagi memastikan ia berlangsung penuh gemilang. Pelbagai kejutan yang merangkumi pemilihan pengacara, penyampai trofi dan barisan artis yang bakal membuat persembahan istimewa telah disusun rapi bagi menyemarakkan lagi edisi tahun ini. Pemilihan kesemua selebriti juga adalah berdasarkan elemen ‘Yang Epik, Yang Legend.”

Erman Zaki, Pengurus Kandungan ERA, Astro Radio

“Selaku jenama radio No. 1 di Malaysia, ERA sememangnya mengetengahkan bakat dan karya tempatan. Kami teruja kerana Anugerah MeleTOP ERA 2020 mendapat sambutan yang sangat mengalakkan untuk semua kategori, terutamanya, kategori berkaitan dengan industri muzik Malaysia. Ini membuktikan bahawa industri muzik di Malaysia semakin berkembang dan terus mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan. Kami membuka semula peluang membuang undi kepada para peminat dalam Fasa Kedua bagi menentukan pemenang-pemenang dari hari ini sehingga 12 April menerusi laman rasmi AME 2020, aplikasi SYOK dan sistem pesanan ringkas (SMS).”