Selepas Yuna, Dolla pula muncul di ‘billboard’ New York Times Square!

BAKAT-bakat Malaysia terus mengharumkan nama negara di mata dunia. Terbaharu, kumpulan nyanyian wanita tempatan Dolla pula muncul di papan iklan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

Penampilan Dolla yang mewakili negara Malaysia pada papan iklan terkenal itu adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin menjalin kesamaan wanita lewat audio dan memperjuangkan kesamaan dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia.

Terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara, di mana Dolla sebagai wajah hadapan merupakan wakil bagi senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura. Terdapat juga senarai lagu terbaik global EQUAL atau the “best” EQUAL Global Playlist yang menyenaraikan artis-artis Equal dari serata dunia.

Dolla yang terdiri daripada empat anak gadis berbakat iaitu Sabronzo, Tabby, Syasya dan Angel begitu teruja saat mendapat khabar berita ini.

Dolla ditubuhkan pada 2019.

“Kami tak mampu nak luahkan perasaan kami sekarang. Ia satu penghormatan yang besar buat sebuah kumpulan nyanyian seperti kami yang baru hendak bertatih dan kami harap kami akan dapat terus memenuhi harapan para peminat ,” jelas Sabronzo kepada The News Malaysia.

Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2019 itu mula menggegar industri muzik tempatan dengan penampilan mereka yang berani serta gaya persembahan yang mengagumkan.

Bersenjatakan gerak tari yang lincah dan gaya penampilan fesyen yang sensasi, kumpulan ini terus meraih pengikut dengan jenama muzik kontemporari yang mereka persembahkan.

Selepas menerajui carta muzik tempatan dengan single pengenalan mereka ‘Dolla Makes You Wanna’, kumpulan ini terus mencuri perhatian penggemar muzik tanah air.

Mereka kemudian melancarkan lagu, ‘Impikan’, berserta versi Bahasa Inggerisnya, ‘Watch Me Glow’, pada Oktober 2020. ‘Impikan’ berjaya mendapat satu juta tontonan di YouTube kurang daripada dua minggu dan meraih perhatian media tempatan serta antarabangsa di samping rantau Asia Tenggara dan Korea.

Mereka juga mengambil bahagian dalam sebuah lagu kerjasama anjuran ABS-CBN Filipina berjudul HEAL, sebuah kolaborasi bersama 13 artis-artis Wanita di Asia Tenggara. Pada tahun 2021, DOLLA juga sempat mengeluarkan ‘Raya Raya Raya’, sebuah lagu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Lagu tersebut telah meraih empat juta tontonan di YouTube.

Dolla juga merupakan artis Malaysia ketiga yang ditampilkan di papan iklan New York Times Square selepas Yuna, dan bintang baharu Layla Sania bulan lalu.