“Pengalaman kami lebih 35 tahun dalam industri hiburan” – Altimet dan pengurus ‘tag team’ tubuhkan syarikat pengurusan

MULA mengorak langkah ke dalam industri hiburan seawal tahun 90-an sehingga kariernya berkembang sebagai Pengurus Artis di Kartel Records, Yasmeen Zainal telah bekerjasama dengan ramai bakat-bakat hiburan termasuk rapper yang telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah, penulis lagu dan produser, Altimet.

Setelah bekerja bersama selama 7 tahun, Altimet dengan tanpa sebarang keraguan percaya bahawa bakat Yasmeen mampu untuk terus berkembang daripada peranan semasanya.

Graduan Multimedia Kreatif tersebut telah berkali-kali menunjukkan kebolehannya sebagai Produser Eksekutif untuk 3 albumnya, dua kali sebagai Pengurus Pentas untuk persembahannya di Anugerah Juara Lagu, sebagai Pengurus Jelajah untuk persembahannya di London dan di Amerika Syarikat dan ‘The Last Altimet Show’ untuk terus berganding bahu dan memulakan syarikat mereka sendiri, SVL TAN Management.

“Apa yang membezakan SVL TAN Management dengan yang lain? Sudah tentu pengalaman 35 tahun kami di dalam industri hiburan. Kami mempunyai pengetahuan yang mendalam, dan kini sedia untuk menjangkau melebihi batasan tersebut,” jelas Altimet yang merupakan Pengarah Kreatif syarikat tersebut. 

“Kami sedia untuk menggegarkan dan menetapkan tanda aras baharu industri bagi rakan-rakan kami di dalam industri hiburan tanah air,” katanya kepada The News.

SVL TAN Management memberi tumpuan kepada pengurusan, tempahan artis, penjenamaan, perkhidmatan konsultan industri kreatif dan pemasaran hiburan.

“Kami memulakan SVL TAN ketika COVID-19 melanda awal tahun lalu, dan kami sangat bersyukur kerana kami masih berjaya menjalankan operasi seperti biasa, walaupun terdapat banyak cabaran yang ditimbulkan oleh wabak ini.

“Kami sebenarnya ingin melancarkan SVL TAN secara rasmi dari awal tahun lepas lagi, tetapi kami ingin mengutamakan bakat kami dan fokus pada perniagaan kami terlebih dahulu,” tambahnya.

Buat masa ini, SVL TAN Management mempunyai barisan lima bakat tempatan di bawah pengurusan mereka termasuklah chef selebriti Sherson Lian, penyampai radio Haniff Hamzah, penyanyi Hazama, Saint Kylo dan sudah tentu, Altimet sendiri.