Peminat Wanita Berani Ajak Kahwin, Haziq Dean Anggap Sekadar Gurauan Semata

PELAKON Projek: High Council, Haziq Dean, 26, menyifatkan tindakan terbuka segelintir wanita yang berani mengajak lelaki diminati mereka untuk bercinta serta berkahwin sebagai faktor perubahan zaman.

Haziq atau nama sebenarnya, Mohamad Haziq Nazimuddin ditemui berkata, pembabitan sebagai salah seorang pelakon dalam Projek: High Council memang melonjakkan namanya hingga dikenali ramai peminat.

“Alhamdulillah, peminat saya semakin bertambah sekarang daripada kalangan gadis muda dan wanita. Terima kasih diucapkan kepada mereka atas sokongan diberikan dan menerima baik Projek: High Council,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia yang masih bujang ada menerima mesej peminat wanita yang mengajak bercinta dan berkahwin, Haziq mengakui ada mendapat kiriman mesej sebegitu di Instagram.

“Memang ada peminat wanita yang mengajak saya bercinta dan berkahwin. Tapi, saya tidak melayan serta biarkan saja. Bagi saya, itu mungkin gurauan mereka. Zaman pun dah berubah dan wanita sekarang lebih berani.

“Tiada salah juga mereka (wanita) meluahkan perasaan suka dan minat itu. Cuma, saya kena menolak secara baik dan tidak memberikan harapan. Dalam soal ini (peminat ajak bercinta/kahwin), saya ambil positif saja.

“Apapun, fenomena dicetuskan Projek: High Council sangat membantu bakat baharu seperti saya dan rakan pelakon lain dalam siri itu dikenali dan menempa nama sehingga jumlah pengikut kami di media sosial naik mendadak,” katanya.

Melakonkan watak Ariz dalam Projek: High Council itu, Haziq berkata dia dan rakan pelakon lain mengambil masa dua bulan untuk betul-betul memahami jalan cerita dan berlatih. Katanya, dia gembira hasil lakonan dipersembahkan terbak.

Haziq juga anak bongsu daripada empat beradik adalah finalis Hero Remaja 2020 dan berjaya memenangi tempat kelima dalam pertandingan itu.

Mula aktif berlakon pada 2021, Haziq pernah membintangi beberapa drama lain seperti Do You Love Me Captain, The Maid 2, Ratu Ten Pin dan Cinta Amnesia.

Lebih dua tahun berkecimpung sebagai penggiat seni, Haziq seangkatan pelakon muda popular tanah air seperti Meerqeen, Aniq Suhair, Nadhir Nassar, Imran Aqil dan Azim Yusof.

Sumber gambar – Iluminasi | Sumber laporan – Harian Metro