Noh Salleh Mohon Maaf, Padam Gambar Musa. Tidak Tahu Ada Perjanjian Dibuat

Mohammad Noh Salleh atau Noh Salleh membuat permohonan maaf secara terbuka di Instagramnya hari ini dan menafikan dakwaan ibu kandung Musa di mana Noh melanggar perjanjian sebelum ini.

Menurut Noh, dia tidak tahu menahu mengenai perjanjian yang dibuat oleh pihak ibu kandung dan pihak bekas isterinya Mizz Nina.

“Mengulas balik kenyataan yang dibuat oleh ibu kandung Musa semalam bertarikh 25 January 2024, saya ingin menyatakan bahawa perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

“Saya tidak tahu menahu akan perjanjian yang dibuat oleh pihak ibu kandung dan pihak bekas isteri saya, Mizz Nina di mana kami dilarang untuk memuat naik gambar muka Musa di mana-mana platform,” jelasnya.

Tindakan Noh yang memuat naik gambar anak angkatnya, Musa kerana rindukan anaknya itu yang kini tidak berada di bawah jagaanya.

“Saya hanya berbuat demikian kerana terlalu rindukan Musa dan ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa Musa bukan berada di bawaah jagaan saya pada waktu ini dan telah pun saya serahkan kepada pihak Mizz Nina seperti mana yang telah saya jelaskan sebelum ini.

Noh juga menjelaskan bahawa telah dipersetujui di antara kedua belah pihak bahawa penjagaan Musa telah diberikan kepadanya secara sedar dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, jelasnya lagi tiada syarat pernah ditetapkan untuk tidak memuat naik gambar Musa.

“Namun, saya, sebagai seorang manusia biasa pasti ada membuat kesilapan kerana tidak memikirkan sensitiviti beliau serta terlalu mengikut perasaan rindu akan Musa telah pun memuat naik gambar anak saya sama seperti ibu bapa lain di luar sana.

“Saya juga ingin tekankan bahawa saya masih tetap dgn pendirian saya sebelum ini di mana, apa yang penting bagi saya ialah kesihatan mental dan fizikal Musa.

“Oleh itu, saya, Mohammad Noh bin Salleh ingin memohon maaf secara terbuka kepada ibu kandung Musa, Wan Nuraisyah Athirah binti Wan Amizulkhidi dan akan turuti tuntutan beliau untuk tidak memuat naik gambar muka Musa lagi dan akan memadam gambar-gambar yang mengandungi muka Musa di laman sosial saya,” tambahnya.

Semalam Athira menuntut penyanyi terbabit meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam berikutan tindakan Noh mendedahkan wajah anaknya, sekali gus melanggar syarat ditetapkan dengan Mizz Nina