BIARPUN masih hangat diperkatakan tentang kisah perkahwinan mereka, pasangan selebriti Neelofa dan PU Riz ataupun Haris Ismail sekali lagi mengundang perhatian netizen selepas beberapa keping foto yang mendakwa mereka berbulan madu di Langkawi, Kedah tular dalam media sosial.
Dalam foto-foto berkenaan, kelihatan Neelofa dan Haris berada di sebuah lapangan terbang dan sedang menaiki sebuah penerbangan dipercayai menuju ke pulau peranginan terkenal tersebut, lapor Kosmo.
Kebanyakan pengguna laman sosial menyuarakan rasa kurang senang mereka dan mempersoalkan bagaimana pasangan yang baru berkahwin pada Sabtu lalu itu dibenarkan merentas negeri untuk berbulan madu.
Bagaimanapun, di sebalik segala kecaman tersebut, ada juga yang berpendapat usahawan selebriti itu dan suaminya menggunakan khidmat agensi pelancongan untuk merentas negeri.
Untuk rekod, pasangan tersebut selamat diijabkabul pada Sabtu lalu dalam sebuah majlis tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara pernah mengumumkan penduduk dari negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan menggunakan agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (MOTAC) berkuatkuasa 10 Mac lalu.
Bagaimanapun, rentas negeri hanya dibenarkan dalam negeri kategori PKPP.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan Neelofa akan dipanggil memberi keterangan esok berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada majlis pernikahannya, Sabtu lalu.
Terdahulu, tular satu gambar di media sosial mendakwa majlis perkahwinan selebriti itu tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mendapat kecaman ramai.
Sumber: Kosmo