“Demi Allah tiada niat persenda OKU” – Baby Shima mohon maaf, nak jumpa insan OKU secara berdepan

PENYANYI Baby Shima akhirnya tampil membuat permohonan maaf apabila teruk dikecam netizen gara-gara memuat naik sebuah video yang dikatakan mempersenda golongan Orang Kurang Upaya (OKU)

Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, 29, melalui satu kenyataan bertulis kepada TheNews berkata, dia tidak cakna bahawa individu dalam video yang di muat naiknya di laman TikTok merupakan Orang Kurang Upaya.

“Sebenarnya perkara ini sudah berlalu empat hari lepas apabila saya tonton satu video dan cuba meniru gelagat individu dalam video tersebut lalu memuat naik ‘content’ tersebut di laman TikTok tanpa saya sedar individu yang dipaparkan merupakan insan kurang upaya. 

“Namun selepas 30 minit, baru saya sedari kekhilafan tersebut apabila dimaklumkan oleh para pengikut oleh dan terus padam video tersebut,” kata Shima kepada TheNews.

Penyanyi yang popular dengan lagu pura-pura bujang ini juga menjelaskan dia langsung tidak mempunyai sebarang niat untuk mempersenda golongan tersebut.

Malah Shima turut memohon kemaafan kepada individu yang terpapar dalam video tersebut, Dia turut berkata sedang berusaha untuk mencari lelaki terbabit untuk menjernihkan keadaan.

“Demi Allah… Shima tiada niat langsung untuk mempersendakan beliau. Tetapi ada pula individu yang sempat rakam dan ‘upload’ di Twitter video tersebut, tak tahu apa tujuannya berbuat demikian, mungkin nak mengeruhkan keadaan.

“Bagaimanapun Shima ambil kesempatan ini untuk memohon maaf secara terbuka, malah wakil saya sudah cuba menghubungi insan tersebut untuk memohon maaf secara empat mata,” jelas Shima