Nazim Othman belum temui pengganti

Masih selesa membawa status duda, kongsi pelakon Nazim Othman buat masa ini dia masih belum menemui wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri. Tidak resah akan hal ini, dia yakin ada takdir yang indah menantinya.

“Saya tidak tergesa-gesa dalam hal ini. Apa yang boleh saya katakan, kehidupan saya buat masa ini sudah cukup tiada yang kurang.

“Bukanlah trauma untuk berkahwin, cuma buat masa ini masih belum bertemu dengan seseorang yang dapat membuka hati. Jujurnya saya sangat terbuka untuk kembali berkahwin,”katanya pada majlis sidang media drama bersiri Suri Katriana semalam.

Akui ada mencuba untuk kembali ke alam percintaan, namun semuanya tidak kesampaian.

“Memang ada, tetapi saya dapat rasakan ada petanda yang memberitahu ini belum lagi masanya,” tambahnya.

Jelas Nazim sebagai seorang yang pernah melalui kegagalan rumah tangga, dia yakin ada yang perlu diperbaiki sebelum kembali membawa status seorang suami suatu hari nanti.

“Mungkin ini masanya untuk saya kembali membetulkan diri. Sebagai manusia saya akui ada kesilapan yang dibuat.

“Antara yang kesilapan lalu yang perlu diinah pada perkahwinan akan datang mungkin saya perlu lebih berlembut dan bertolenrasi. Sebab kadang kita tidak tahu cara kita itu tidak sesuai, walaupun sebenarnya niat kita baik,”katanya panjang lebar.

Sementara itu bercakap mengenai wataknya dalam drama Suri Katriana. Nazim tidak menolak dia cukup selesa untuk berada dalam drama ini. Selain membabitkan ramai pelakon hebat, drama ini juga memberi cabaran berbeza untuk dirinya.

“Sebagai antara pelakon yang suka berlakon dalam drama yang mempunyai episod yang panjang saya tidak nafikan ini antara sebab saya terima tawaran ini.

“Dalam drama ini saya akan bergandingan dengan Ummi Nazeera, selepas 10 tahun sebenarnya,”katanya.

Selain Nazim dan Ummi, drama Katriana turut dibintangi pelakon hebat iaitu Ernie Zakri, Hasnul Rahmat, Zul Huzaimy, Rozita Che Wan, Aishah Azman, Nadiyaa Nisa dan ramai lagi.

Drama arahan Pali Yahya akan mula ditayangkan mulai 29 Oktober 2019 jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Prima HD (saluran 121).