Aishah Azman “puasa” bercinta tiga tahun

Menolak untuk berada dalam hubungan untuk tempoh tiga tahun akan datang. Pelakon, Aishah Azman menjelaskan selepas apa yang berlaku dia yakin ini adalah waktu paling tepat untuk memberikan tumpuan buat kerjaya lakonannya dahulu.

Tidak menolak ada yang menawarkan cinta. Tetapi jelasnya dia lebih senang untuk menolaknya demi mencapai impiannya untuk bergelar seorang pelakon yang dikenali melalui bakat.

“Saya sudah membuat keputusan untuk tidak berada dalam mana-mana hubungan cinta dalam tempoh 3 tahun. Buat masa ini memang saya mahu memberi fokus kepada kerjaya dahulu.

“Memang ada yang cuba mendekati. Tetapi saya jelaskan dari awal lagi yang saya tidak minat untuk berada dalam hubungan buat masa ini,”katanya.

Menolak trauma dengan cinta, kata Aishah dengan apa yang berlaku dia sebenarnya berasa lebih lega kini. Malah dia yakin keputusan yang dibuat ketika umurnya terlalu muda juga menjadi punca dia berada dalam kontroversi ini.

“Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Saya anggap ini adalah yang terbaik untuk diri saya.

“Saya tidak nafikan keputusan yang dibuat ketika umur saya terlalu muda juga menjadi punca apa yang berlaku,”katanya lagi.

Aishah sebelum ini menggegarkan dunia hiburan apabila membuat laporan dicederakan bekas tunangnya. Kejadian itu didakwa berpunca apabila dia meminta bekas tunangnya itu memutuskan hubungan songsang dengan kenalannya, pada 26 Jun lalu.

Sementara itu Aishah kini sibuk menjayakan penggambaran drama Katriana. Drama dengan 49 episod ini turut dibintangi pelakon hebat iaitu Ernie Zakri, Hasnul Rahmat, Zul Huzaimy, Rozita Che Wan, Nazim Othman, Nadiyaa Nisa dan ramai lagi.

Drama arahan Pali Yahya akan mula ditayangkan mulai 29 Oktober 2019 jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Prima HD (saluran 121).